Wednesday, June 8, 2011


ALBUM HARY NIANTI - KADA POLOGOSO

ISTIMEWA DARI HARY NIANTI
by, Ersie Chell Anjumin


BIARPUN sudah memiliki kerjaya tetap sebagai Pegawai Kebudayaan di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Kuala Lumpur, pemilik nama sebenar Peter Haryson Nianti tetap menanamkan azam yang tinggi untuk menunaikan impiannya memiliki album sendiri.

Walaupun terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu selama hampir setahun, ia tidak mematahkan semangat pemuda kelahiran Beluran ini untuk meneruskan langkahnya dalam bidang muzik.

Malahan di bawah bumbung Pusakag Production, jerih payahnya mula membuahkan hasil apabila album sulungnya, Kada Pologoso yang mengetengahkan konsep RnB, Pop dan balada bakal diedarkan secara terbuka nanti.

Promosi ini akan diadakan di Booth Pusakag (gerai bernombor 15 dan 16) di KDCA, Penampang bermula hari Ahad nanti hingga 31 Mei depan dengan harga promosi RM30.

Mempertaruhkan 11 buah lagu, jejaka yang lebih mesra dengan sapaan Hary, mengharapkan agar kehadirannya dapat diterima oleh para penggemar muzik.

Antara lagu-lagu yang dimuatkan dalam album pertamanya ialah, Kada Pologoso, Olumis Koh Umandak, Kau Ku Cinta, Poilo Isio, About U, Tondu Lansanonku, Raraa Beluran (dalam bahasa Dusun Labuk), Ku Sempurna, Mandad Sisimba 2, Tikid Tadau dan sebuah lagu bonus iaitu Iziau Nodaa yang dinyanyikan oleh Joseph George.

Album berbentuk DVD Karaoke dan Audio CD ini menggabungkan komposer yang berbakat besar seperti, Douglas Henry Monis, Benn S. Bukag, Jennifer Rolland@ Popo, Anderson Nianti, Stephen Masil dan Joseph George.

Selain itu, album ini turut mempamerkan gandingan mantap Hary bersama beberapa artis lain seperti bekas juara bintang remajaRTM peringkat kebangsaan Betcy Michael menerusi lagu Mandad Sisimba 2 dan finalis MyStarz LG, Jaymeral Henry dalam lagu yang berjudul Olumis Koh Umandak.

Apa yang membanggakan, meskipun kehadirannya dalam pasaran muzik tempatan masih hijau, tidak dinafikan pembabitan Hary dan abang kembarnya, Peter Anderson Nianti dalam pertandingan menyanyi di beberapa buah daerah di seluruh Sabah berjaya mencuri tumpuan ramai.

Walaupun adik beradik kembar ini tidak berpadu suara, namun Anderson tetap membantu adiknya menjayakan kemunculan album sulung dengan menjadi penasihat vokal.

Tutur Anderson ketika dihubungi kelmarin, beliau berharap agar album adiknya mendapat sambutan hangat sekaligus membolehkan lagu dalam album itu nanti menjadi pilihan halwa pendengar.

“Sebagai seorang abang, pastinya saya mengharapkan yang terbaik buat Hary. Saya juga berharap agar genre muzik yang dibawakannya nanti diterima secara positif oleh seluruh masyarakat Sabah,” ujar Finalis KENTE Musim ke-3 yang juga kini mempunyai perancangan untuk muncul dengan album sulung.

Menariknya mengenai album ini, Hary bukan saja menyanyi tetapi turut menyumbangkan hasil nukilannya sendiri menerusi lagu Kau Ku Cinta manakala abang kembarnya menganyam kemas album itu menerusi lagu Ku Sempurna.

“Selain itu, lagu Raraa Beluran, Poilo Isioo dan Olumis Koh Umandak pernah saya nyanyikan sewaktu membuat persembahan di Negeri Sembilan dalam Program Merakyatkan Seni dan program Menifestasi Puisi di Taman Budaya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini,” jelas anak keenam daripada lapan beradik yang nyata bersyukur dengan sambutan yang diterima oleh masyarakat di negeri lain.

Berbicara mengenai lamaran Pusakag Production, bekas penuntut seni kreatif di Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini mengakui semuanya bermula daripada penyertaanya dalam pertandinganKENTE 1.

“Sebaik selesai membuat persembahan, saya dipanggil oleh bos Pusakag iaitu En Henry M. Gummisi dalam pejabat beliau dan dia memberitahu saya hasratnya untuk mengambil saya menyanyi dalam album keluaran Pusakag suatu masa nanti,” ceritanya kepada Hiburan NST.

Sambungnya lagi, “Selepas habis belajar saya mula tumpukan perhatian serius pada bidang nyanyian dan jujurnya, menerima lamaran Pusakag menyebabkan saya terdorong untuk berusaha lebih gigih bagi membuktikan kepada Pusakag Production bahawa pilihan mereka adalah tepat.”

Selain berterima kasih pada Henry, Hary turut melahirkan ucapan penghargaanya kepada keluarga Tamin dan semua pihak yang banyak membantunya sejak beliau berjinak-jinak dalam dunia muzik.

“Berbanyak terima kasih kepada keluarga Tamin terutamanya En Callix dan Puan Philomina sebab banyak memberi dorongan sehinggalah saya melibatkan diri dalam indutri muzik KADUS. Begitu juga dengan Puan Betcy Michael yang menjadi salah seorang penasihat vokal saya selama ini,” katanya sambil menambah, kesabaran Betcy dalam mengajarnya teknik-teknik yang betul dalam nyanyian banyak membantunya menjadi penyanyi yang lebih baik.

Malah Hary juga tidak melupakan sokongan yang diberikan oleh keluarganya, rakan-rakan, tempat beliau bertugas kini dan juga media-media cetak dan elektronik.

Bagi mengenali lebih lanjut mengenai jejaka berbintang Aries ini, boleh layari laman sosial FB http://www.facebook.com/hary.nianti atau email haryson_85@yahoo.com beliau.

BIODATA

NAMA: Peter Haryson Nianti

NAMA PENTAS: Hary Nianti

TARIKH LAHIR: 2 April 1985

ASAL: Beluran

AGAMA: Kristian

Hobi: Menyanyi, bermain muzik, menari dan mengambil gambar

Sumber : News Sabah Times

3 comments:

  1. Congrats Hary. Plz keep it up ur good work:) Chayoo, chayoo!

    p/s support ko berabis :)

    ReplyDelete
  2. Chey Kay - thnx ya...

    JChell - wahhh... thnks cuzzy.. ko juga yg paling manang...!!!!! luv u

    ReplyDelete