Tuesday, July 5, 2011

Hary Nianti - Artis Kelahiran Kente Musim Pertama



by:Tom Kurus

“JUJUR saya katakan bahawa saya adalah penyanyi kelahiran KENTE musim pertama,”. Demikian pengakuan Hary ketika berbicara mengenai penglibatan dirinya dalam bidang nyanyian.

KE Next Top Entertainer (KENTE), yang telah melabuhkan tirainya buat pertama kali pada tahun 2009 jelas membuktikan objektifnya untuk melahirkan penyanyi yang berkebolehan untuk diketengahkan di dalam industri muzik di Sabah.

Hary merupakan finalis Top 10 dalam KENTE musim yang pertama. Penyanyi yang baru berusia 26 tahun ini telah merakamkan album sulungnya baru-baru ini dibawah label Pusakag Production.

“Sebenarnya saya tidak menyangka KENTE telah membawa saya sejauh ini. Pada masa itu, saya hanya mencuba nasib setelah mendapat dorongan daripada kawan-kawan di sekeliling. Masih segar di dalam ingatan saya pada malam saringan yang diadakan di Pusakag Café, Donggongon, saya telah disapa oleh pengurus café tersebut, yang juga merupakan pemilik Pusakag Production untuk masuk ke dalam pejabatnya untuk berbual.

“Beliau memberitahu saya bahawa saya mempunyai pakej yang menarik untuk diketengahkan sebagai penyanyi. Saya hanya mampu tersenyum sambil mendengar kata-katanya itu. Apa yang amat mengejutkan saya, beliau berkata sama ada saya berjaya masuk atau tidak dalam pertandingan akhir nanti, beliau tetap menaruh harapan yang tinggi kepada saya untuk diketengahkan sebagai penyanyi pada satu hari nanti. Jika tiada aral yang melintang, beliau mungkin akan menerbitkan album untuk saya suatu hari nanti,” jelas penyanyi kelahiran Beluran ini.

Namun mungkin nasib tidak menyebelahi Hary pada pertandingan akhir KENTE 1 kerana tidak berjaya merangkul sebarang anugerah. Aktiviti nyanyiannya tidak berhenti begitu sahaja tetapi Hary kerap kali menerima undangan menyanyi di sekitar Kota Kinabalu selepas itu.

“Selang beberapa bulan selepas pertandingan akhir yang dilangsungkan di KDCA pada ketika itu, sekali lagi pemilik Pusakag Production tersebut memanggil saya untuk berbual-bual. Pada malam itu, beliau telah menawarkan saya untuk merakamkan album dibawah label Pusakag Production. Sememangnya saya amat terkejut dengan tawaran tersebut, namun saya memberitahunya bahawa saya perlu memikirkannya terlebih dahulu. Walaupun jauh didalam hati, saya ingin memberi jawapan pada saat itu juga, namun saya perlu bertanya kepada keluarga saya terlebih dahulu,” ujar Hary lagi yang mendapat dorongan penuh daripada keluarganya dalam perjalanan seninya ini.

“Rakaman album ini telah bermula sekitar penghujung tahun 2009. Namun disebabkan komitmen kerja yang begitu padat, sukar untuk saya membahagikan masa diantara kerja dengan rakaman tersebut. Namun saya berasa amat bersyukur kerana pada penghujung tahun lalu, saya telah memberi komitmen yang penuh terhadap album ini walaupun saya berada jauh di Kuala Lumpur bekerja.

“Saya terpaksa berulang-alik di hujung minggu daripada Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur untuk membuat rakaman. Satu pengorbanan yang saya kira berbaloi kerana hasilnya dapat dilihat sekarang,” kata Hary yang amat gembira dengan kelahiran albumnya yang sulung ini.

Selain itu, album Hary Nianti yang berjudul “Kada Pologoso” ini yang memuatkan 10 buah lagu dan sebuah lagu Joseph George yang merupakan seorang artis jemputan, bakal dilancarkan pada penghujung bulan ini. Album ini yang telah mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan telah mempertaruhkan lagu-lagu yang kebanyakannya hasil ciptaan dan sentuhan komposer muda, Douglas Henry.

Albumnya yang sudah boleh didapati di pasaran dengan harga promosi hanya boleh didapati di beberapa tempat pada ketika ini termasuklah di Pusakag Café. Tambahan lagi, KENTE musim ketiga nanti yang bakal berlangsung pada 9 Julai 2011 bertempat di Auditorium Tun Raffaee akan menyaksikan persembahan Hary sebagai artis undangan dan albumnya ini juga boleh didapati pada malam tersebut diatas harga promosi.

Selain daripada Hary, KENTE juga telah banyak mengetengahkan artis-artis yang baru seperti Bernard Michael Laimen dan Deffny Pearl Tanggar yang telah merakamkan album. Pemenang Sugandoi pada tahun ini iaitu Feraddy Okuling adalah juga hasil kelahiran KENTE musim pertama. Mungkin tidak ramai yang menyedarinya tetapi itulah hakikatnya bahawa KENTE telah memberi mereka platform untuk bertapak dalam bidang ini.

“Nasihat saya kepada finalis KENTE musim ketiga ini, percayalah kepada bakat anda. Tidak semestinya kalah dalam pertandingan ini nanti bermakna bakat anda tidak dihargai. Percayalah bahawa rezeki itu ada dimana-mana. Kita harus bersabar dalam apa juga keadaan sekalipun. Anda mestilah sentiasa percaya bahawa anda boleh melakukannya dan akan dapat melangkah lebih jauh lagi.

Jika kita lihat penyanyi-penyanyi Malaysia pada hari ini, mereka merupakan insan-insan yang tidak pernah kenal erti jemu dan sentiasa yakin serta tidak pernah memandang kepada kelemahan mereka sebagai satu penghalang dalam membina kerjaya mereka untuk menjadi seorang penyanyi yang hebat kelak,” jelas Hary yang ingin berkongsi pengalaman kepada finalis KENTE musim ketiga ini.

Di kesempatan ini juga, Hary ingin menjemput semua peminat di Daerah Beluran untuk turut serta didalam “Hiburan Hujung Minggu Bersama Bernard Laimen dan Hary Nianti” yang diadakan pada hari ini, Ahad, 3 Julai 2011 bertempat di Astaka, Beluran, yang akan bermula pada jam 10 pagi.

Pelbagai acara telah diatur termasuklah memperkenalkan penyanyi-penyanyi baru seperti Anderson Nianti, Raflie, Edwin, Lainjih, Janai, Doddy, Marylyn, Azilin, Hillary, Emilda dan Victor.

Sambil mengakhiri temu bual, Hary ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Kadus Entertainment yang telah memberinya platform untuk bergelar sebagai seorang penyanyi.

“Tidak lupa juga kepada Pusakag Production yang percaya kepada bakat saya serta media cetak dan elektronik yang banyak memberi promosi kepada saya. Akhir sekali, terima kasih kepada DJ Dj radio yang telah dan bakal memainkan lagu-lagu saya ini nanti,” ujar Hary mengakhiri perbualan.

Disamping itu, kepada peminat-peminat Hary yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang kegiatan seninya, layarilah Facebook “Hary Nianti” atau blognya di www.wix.com/haryson_85/hary-nianti

"Tidak semestinya kalah dalam pertandingan ini nanti bermakna bakat anda tidak dihargai."

- Hary Nianti

Sumber: News Sabah Times

No comments:

Post a Comment