Friday, July 1, 2011

Jom meriahkan Hiburan Hujung Minggu bersama Bernard dan Hary

by : Ersie Chell Anjumin

1 Julai 2011 : BUAT julung kalinya dua jejaka kelahiran Beluran yang baru saja melahirkan album sulung mereka; bakal bergabung mencipta fenomena baru sebagai usaha mempromosikan album masing-masing menerusi mini konsert ‘Hiburan Hujung Minggu’ yang akan diadakan hari Ahad ini.

Selain mempromosikan album, Bernard Laimen Michael yang muncul dengan ‘Nipi Ku’ dan Peter Haryson dengan ‘Kada Pologoso’ bakal mengatur langkah diatas pentas terbuka Beluran bersama-sama dengan penampilan istimewa bakat-bakat baru yang berpotensi untuk diketengahkan di persada industri muzik Sabah.

Antara penyanyi yang akan ditampilkan nanti ialah Peter Anderson, Feliscia@Cicie, Rafley, Edwin, Lainjih, Janai, Doddy, Marylyn, Azilin, Hillary, Emilda dan Victor. Menyuntik aura pada setiap persembahan yang bakal dipertontonkan ialah The Reunion Band sebagai band pengiring yang diketuai oleh Johanis Ampak.

Acara yang bakal dirasmikan oleh Pegawai Daerah Beluran, Yusop Hj. Osman akan bermula pada jam 10 pagi dan dijangka berakhir pada jam 3 petang di Astaka Beluran.

Pelbagai acara turut dijadualkan berjalan pada hari itu seperti cabutan bertuah dan pertandingan Gigs secara spontan.

Stesen radio online labukdotfm, akan membuat liputan secara langsung mengenai konsert yang bakal berlangsung nanti sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti sihat yang dilakukan.

Menurut Bernard, selain bertujuan mempromosikan album dan mengetengahkan individu berbakat, ‘Hiburan Hujung Minggu’ itu turut dijalankan dengan harapan aktiviti yang dilakukan dapat menghindarkan warga Beluran daripada terjebak dengan gejala yang tidak sihat.

Malah baginya, pendekatan yang dibuat secara tidak langsung dapat membuktikan pada remaja di Beluran bahawa bidang muzik juga mampu menjana pendapatan jika dilakukan dengan cara yang betul.

Manakala bagi Hary pula, aktiviti sedemikian mampu mengeratkan silaturahim kerana ia bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi juga menjadi tempat himpunan kekeluargaan seluruh masyarakat Beluran khususnya dan juga Sabah secara amnya.

“Bukan selalu program seperti ini ada di Beluran, jadi kesempatan seperti ini harus kita ambil untuk bertemu dengan keluarga dan sahabat handai selain kita berhibur,” ujarnya yang sanggup balik dari Kuala Lumpur semata-mata untuk turut serta menghibur masyarakat di Beluran.

Menyimpulkan perbualan, Bernard dan Hary mewakili seluruh pihak pengurusan ‘Hiburan Hujung Minggu’ mengalu-alukan respon positif daripada warga Beluran demi menjayakan mini konsert itu nanti.

Sumber: News Sabah Times

P/S : Kepada sesiapa yang berada di sekitar tempat tersebut, kita jumpa di sanaaaaaa.... kita kasi gempaq Beluran.. ni kali lah.... ^__^

No comments:

Post a Comment